Setiap anak wajib
berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui
hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak
bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan
hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin
uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat
sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.
1. Memberi nafkah.
Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi
melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi
tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi
tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa.
Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk
membesar dan mendidik anak.
2. Menyediakan tempat
tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk
didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang
lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu
bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan
harian mereka diuruskan dengan baik.
3. Memberi kasih
sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah
dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap
anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak
melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon
kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah
bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana
mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah
al-Isra, ayat 24).
4. Memberi perhatian.
Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan
seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan
kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal
dan mental ibu bapa.
Penerapan amalan
memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan
dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin
meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.
Banyak ibu bapa yang
disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar
diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa
mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.
5. Memenuhi
permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan
sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan
masa.
Memenuhi permintaan
ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya,
memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang
sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.
Malah keutamaan
berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan
daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi
Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??
Lalu baginda
bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda
menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab
baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6. Melakukan apa yang
disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik
pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna
melakukan perbuatan derhaka.
Anak derhaka kepada
ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada
ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah
bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan
menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam hadis lain
diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni
balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka
kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada
pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
7. Bercakap dengan
lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut
dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan
mereka.
Firman Allah
bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain
Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah
seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah
sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau
suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.
(Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak
ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud
merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata
yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan,
gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
8. Menghadiahkan
kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah
berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi
kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.
Jadi, jika memperoleh
kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan
seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa
bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
9. Meluangkan masa
bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap
meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan
dan menatap wajah anaknya.
10. Mendoakan
kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu
bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu
bapa telah meninggal dunia.
Sabda Rasulullah
bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya,
melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat,
ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang
sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan
anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas
jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan
yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk
anak berbakti
kepada ibu bapa
sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia.
Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih
hidup.
Kita selalu melihat
dia ketawa,tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan.Di
sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan.Di sebalik
kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan..Kita tidak tahu.Tetapi jika
kita cuba jadi sahabat sepertinya,mungkin kita akan tahu.
No comments:
Post a Comment